1. Apakah Simpan SSPN Prime?

Simpan SSPN Prime (dahulunya dikenali sebagai SSPN-i) merupakan produk PTPTN tanpa komitmen bulanan.

Simpan SSPN Prime adalah berlandaskan syariah. Menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’ bermaksud mewakilkan untuk tujuan pelaburan.

2. Apakah objektif Simpan SSPN Prime?

Objektif Simpan SSPN Prime adalah untuk membudayakan tabiat menabung di kalangan warganegara Malaysia. Khususnya bagi tujuan pendidikan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

3. Apakah keistimewaan Simpan SSPN Prime?

Simpan SSPN Prime menawarkan pelbagai keistimewaan. Antaranya:

  • Pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa. Pelepasan sehingga RM8,000.00 setahun bagi akaun yang dibuka atas nama anak / anak angkat yang sah sebagai penerima manfaat;
  • Perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000.00 dan ke atas;
  • Kadar dividen yang kompetitif dan dikecualikan daripada cukai pendapatan;
  • Pemberian geran sepadan kerana memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) sehingga RM10,000.00. Geran ini untuk satu keluarga yang layak bagi akaun yang dibuka atas nama anak sebagai penerima manfaat;
  • Simpanan dijamin oleh kerajaan;
  • Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN;
4. Adakah akaun Simpan SSPN Prime boleh dibuka oleh seseorang yang masih bujang atau ibubapa yang tiada tanggungan anak di IPT?

Boleh. Secara asasnya, akaun Simpan SSPN Prime boleh dibuka oleh sesiapa sahaja.

Yang penting warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas.

Nota tambahan : Pembukaan akaun untuk diri sendiri tidak layak pelepasan cukai.

5. Apakah syarat-syarat penyertaan Simpan SSPN Prime?

Syarat-syarat penyertaan Simpan SSPN Prime adalah seperti berikut:

1. Ibu / bapa / penjaga / individu yang ingin menjadi pendeposit dan / atau penerima manfaat kepada akaun Simpan SSPN Prime mestilah warganegara Malaysia.

2. Bagi pembukaan akaun untuk anak angkat di bawah jagaan yang sah, surat akuan berkanun atau sijil anak angkat hendaklah disertakan bagi menikmati keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan dan geran sepadan ke institusi pendidikan tinggi (jika layak).

3. Pendeposit boleh juga membuka akaun untuk diri sendiri.

4. Setiap pendeposit hanya boleh membuka satu akaun untuk penerima manfaat yang sama

5. Penerima manfaat mestilah berumur antara 1 hari hingga sebelum mencapai umur 29 tahun.

6. Penerima manfaat yang telah mempunyai akaun yang dibuka oleh seseorang pendeposit boleh membuka akaun bagi dirinya sendiri atau membuka akaun untuk warganegara Malaysia yang lain. Ini bermakna, seorang penerima manfaat pada masa yang sama juga boleh menjadi pendeposit.

7. Pendeposit yang berbeza boleh membuka akaun SSPN-i bagi penerima manfaat yang sama dan tiada had bilangan akaun bagi setiap penerima manfaat.

6. Bagaimanakah caranya untuk membuka akaun Simpan SSPN Prime?

Akaun Simpan SSPN Prime boleh dibuka secara online dengan melayari laman web Simpan SSPN (www.simpansspn.com.my), di kaunter cawangan PTPTN atau melalui ejen-ejen sah yang telah dilantik.

7. Apakah dokumen yang mengesahkan pembukaan akaun Simpan SSPN Prime?

Simpan SSPN Prime tidak menggunakan buku akaun.

Walau bagaimanapun, PTPTN akan menghantar Slip Akuan Pembukaan Akaun Simpan SSPN Prime kepada pendeposit. Penghantaran ke alamat yang didaftarkan, sebagai bukti pengesahan pembukaan akaun Simpan SSPN Prime.

8. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan nombor akaun Simpan SSPN Prime sekiranya slip akuan telah hilang?

Ada 2 cara. Pendeposit boleh mendapatkan nombor akaun Simpan SSPN Prime dengan :-

  • Menghubungi Khidmat Pelanggan PTPTN di talian 03-2193 3000 atau
  • Mengunjungi cawangan PTPTN yang berdekatan untuk .

Pendeposit juga boleh memohon untuk cetakan semula slip akuan bagi memudahkan urusan.

9. Adakah pendeposit dan penerima manfaat mesti terdiri daripada ahli keluarga terdekat?

Tidak. Pendeposit boleh membuka akaun dan menamakan mana-mana warganegara Malaysia yang lain sebagai penerima manfaat.

10. Bagaimanakah cara untuk membuat simpanan secara potongan gaji atau menamatkan potongan gaji?

Pendeposit perlu mengisi dan melengkapkan Borang Kebenaran/ Penamatan Potongan Gaji Bulanan Simpan SSPN Prime.

Borang ini boleh didapati di kaunter PTPTN atau mencetak borang tersebut melalui portal rasmi PTPTN. Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar kepada majikan dan sesalinan kepada PTPTN.

11. Bagaimanakah cara untuk menyemak penyata akaun Simpan SSPN Prime?

Penyata Akaun Simpan SSPN Prime boleh disemak dan dicetak melalui portal rasmi PTPTN.

Semakan juga boleh dilakukan dengan menghubungi Khidmat Pelanggan PTPTN di talian 03-2193 3000 atau hadir sendiri ke cawangan PTPTN yang berdekatan.

12. Bilakah simpanan Simpan SSPN Prime boleh dikeluarkan?

Simpanan Simpan SSPN Prime boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Walau apa pun, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh PTPTN dari semasa ke semasa.

13. Bagaimanakah cara untuk mengeluarkan simpanan Simpan SSPN Prime?

Simpanan Simpan SSPN Prime boleh dikeluarkan dengan cara berikut:

  1. Mengisi dan melengkapkan Borang Pengeluaran / Penutupan Akaun / Tuntutan Geran Sepadan. Borang tersebut boleh didapati di kaunter PTPTN. Borang perlu dikemukakan kepada PTPTN melalui serahan tangan; atau

  2. Pengeluaran melalui ATM di bank yang terpilih.

14. Adakah sebarang caj dikenakan jika mengeluarkan simpanan Simpan SSPN Prime?

Tiada caj yang dikenakan oleh PTPTN. Caj hanya dikenakan oleh ejen, sekiranya ada.

15. Berapa lamakah proses pengeluaran deposit / penutupan akaun jika permohonan dibuat di kaunter PTPTN?

Proses permohonan pengeluaran deposit / penutupan akaun mengambil masa tidak lebih 14 hari bekerja selepas penerimaan dokumen permohonan yang lengkap.

16. Bolehkah simpanan Simpan SSPN Prime digunakan untuk membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN?

Boleh. Ada 2 situasi bagi kes ini :

  • Bagi peminjam yang juga pendeposit akaun Simpan SSPN Prime yang dibenarkan. Pengeluaran SSPN Prime untuk bayaran balik pinjaman PTPTN dibuat melalui pindahan antara akaun. Peminjam boleh dapatkan borang pengeluaran bagi tujuan tersebut di kaunter PTPTN.
  • Bagi peminjam yang merupakan penerima manfaat, pendeposit perlu membuat pengeluaran SSPN Prime ke akaun bank pendeposit terlebih dahulu. Setelah terima wang pengeluaran, barulah bayaran balik pinjaman PTPTN boleh dibuat.
17. Peminjam tidak membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Adakah simpanan Simpan SSPN Prime miliknya dipotong secara automatik?

Tidak. Simpan SSPN Prime dan Skim Pinjaman Pendidikan adalah skim yang berbeza walaupun kedua-duanya di bawah PTPTN.

18. Adakah simpanan Simpan SSPN Prime boleh dipindahkan ke akaun SSPN yang lain?

Boleh. Pendeposit perlu mengisi Borang Penutupan/Pengeluaran SSPN Prime yang boleh didapati di cawangan PTPTN. Pindahan boleh dilakukan berdasarkan situasi berikut:

  1. Pindahan simpanan daripada akaun Simpan SSPN Prime ke akaun Simpan SSPN Prime atas pendeposit yang sama.

  2. Pindahan simpanan daripada akaun Simpan SSPN Plus ke akaun Simpan SSPN Prime atas pendeposit yang sama.

  3. Pindahan simpanan daripada akaun Simpan SSPN Prime ke akaun Simpan SSPN Plus atas pendeposit yang sama.

  4. Pindahan lebihan bayaran balik pinjaman ke akaun Simpan SSPN Prime atau Simpan SSPN Plus atas peminjam / pendeposit yang sama.

  5. Pindahan simpanan Simpan SSPN Prime untuk bayaran balik pinjaman atas peminjam / pendeposit yang sama.

19. Adakah akaun Simpan SSPN Prime perlu ditutup jika penerima manfaat telah mencapai umur 29 tahun?

Ya. Pendeposit perlu membuat penutupan akaun atas nama penerima manfaat tersebut.

Pendeposit mempunyai pilihan, sama ada untuk menerima wang simpanan semasa membuat penutupan atau membuat pindahan wang simpanan ke akaun penerima manfaat yang lain.

20. Adakah sebarang manfaat diberikan kepada pendeposit yang mengalami kemalangan jalan raya dan lumpuh seluruh badan?

Ada. Simpan SSPN Prime menyediakan perlindungan takaful secara percuma kepada pendeposit. Syaratnya, pendeposit mempunyai baki simpanan RM1,000 dan ke atas serta berumur tidak melebihi 65 tahun.

Perlindungan takaful ini merangkumi kematian pendeposit dan penerima manfaat serta keilatan kekal menyeluruh pendeposit.

Sekiranya pendeposit mengalami keilatan kekal menyeluruh dan telah disahkan oleh pegawai perubatan, waris boleh membuat tuntutan takaful.  Borang Permohonan Tuntutan Takaful boleh didapati di cawangan PTPTN atau di portal rasmi PTPTN. Borang perlu dilengkapkan bersama dokumen sokongan seperti yang dinyatakan. Dokumen yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada PTPTN melalui serahan tangan atau pos.

21. Apakah dokumen yang perlu diisi sekiranya waris pendeposit ingin membuat tuntutan takaful kerana pendeposit telah meninggal dunia?

Syarat tuntutan takaful bagi pendeposit yang telah meninggal dunia adalah baki simpanan mestilah RM1,000 dan ke atas dan berumur tidak melebihi 65 tahun pada tarikh kematian.

Waris boleh membuat tuntutan takaful.  Borang Permohonan Tuntutan Takaful boleh didapati di cawangan PTPTN atau di portal rasmi PTPTN. Borang perlu dilengkapkan bersama dokumen sokongan seperti yang dinyatakan. Dokumen yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada PTPTN melalui serahan tangan atau pos.

 

22. Bagaimanakah proses penutupan akaun Simpan SSPN Prime bagi pendeposit yang meninggal dunia?

Bagi pendeposit yang telah meninggal dunia, waris hendaklah melengkapkan dokumen berikut berdasarkan jumlah simpanan Simpan SSPN Prime semasa kematian:

Kurang daripada RM3,000

  1. Borang Pengeluaran/ Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan

  2. Salinan Mykad pendeposit

  3. Salinan Mykad penuntut takaful/waris

  4. Salinan sijil kematian pendeposit

  5. Borang Pengesahan Waris

  6. Borang Bon Tanggung Rugi dan dimatikan Setem Hasil bernilai RM10

  7. Salinan muka hadapan buku bank/ penyata akaun waris (akaun persendirian sahaja).

Jumlah RM3,000 dan ke atas

  1. Borang Pengeluaran/ Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan

  2. Salinan Mykad pendeposit

  3. Salinan MyKad penuntut takaful/waris

  4. Salinan sijil kematian pendeposit

  5. Surat Kuasa Mentadbir/ Geran Probet/ Surat Kuasa Pentadbiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya/ Pejabat Tanah dan Daerah/ Amanah Raya Berhad/ pihak berkuasa yang diiktiraf

  6. Salinan muka hadapan buku bank/ penyata akaun waris (akaun persendirian sahaja)

Dokumen yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada pejabat PTPTN melalui serahan tangan atau pos.

23. Siapakah yang layak mendapat insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan?

Pendeposit (Ibu bapa dan ibu bapa angkat/ penjaga yang sah dari segi undang-undang) yang menyimpan dalam akaun Simpan SSPN Prime untuk manfaat anak diberi pelepasan taksiran cukai pendapatan. Pelepasan taksiran cukai ini sehingga maksimum RM8,000.00 setahun berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa.

Kategori kelayakan adalah seperti berikut:

  • Taksiran Berasingan : Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 seorang setahun.
  • Taksiran Bersama : Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 setahun.

Individu yang menyimpan untuk diri sendiri TIDAK LAYAK untuk mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan.

24. Bagaimanakah cara untuk mengetahui amaun layak insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan?

Insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan diberikan berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa, iaitu simpanan yang telah ditolak pengeluaran.

Pendeposit boleh menyemak atau mencetak penyata ringkasan akaun Simpan SSPN Prime melalui e-Simpan SSPN Prime di portal rasmi PTPTN.

25. Apakah yang dimaksudkan dengan insentif geran sepadan memasuki IPT?

Geran sepadan memasuki IPT adalah insentif kewangan dalam bentuk tunai. Geran sepadan ini ditawarkan untuk menarik orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah membuat tabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. Pemberian geran sepadan bertujuan membantu keperluan anak-anak (penerima manfaat) yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Jumlah keseluruhan geran sepadan yang akan diberikan kepada setiap pendeposit yang layak adalah tidak melebihi RM10,000 satu keluarga.

 

26. Apakah syarat-syarat kelayakan geran sepadan ini?

Pemberian geran sepadan adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  1. Pendapatan bulanan keluarga (gaji pokok) pendeposit tidak melebihi RM4,000 semasa permohonan dibuat.

  2. Penerima manfaat telah mendaftar masuk ke mana-mana IPT dan kursus yang diikitiraf oleh kerajaan di peringkat sijil dan ke atas.

  3. Penerima manfaat belum mencecah umur 29 tahun semasa permohonan dibuat.

Kelayakan pemberian geran sepadan hanya kepada pendeposit (ibu/ bapa/ penjaga) yang membuka akaun untuk anaknya sendiri atau anak jagaan yang sah. Pendeposit yang membuka akaun untuk diri sendiri atau mana-mana orang lain tidak layak memohon geran sepadan ini.

27. Bagaimanakah kaedah tuntutan dan apakah dokumen yang diperlukan untuk memohon geran sepadan ini?

Pendeposit hendaklah mengisi Borang Pengeluaran/Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan dan mengemukakan bersama dokumen berikut:

  1. *Pengesahan pendapatan/ salinan slip gaji/ salinan penyata pencen/ salinan kad pesara yang menyatakan pencen bulanan pendeposit dan pasangan.

  2. Salinan MyKad pasangan/ sijil kematian/ surat cerai.

  3. Salinan sijil kelahiran/ surat akuan berkanun/ sijil anak angkat penerima manfaat.

  4. *Salinan surat tawaran mendaftar masuk ke IPT dan resit bayaran daftar masuk ke IPT.

  5. *Surat pengesahan aktif belajar daripada IPT/Agensi yang berkenaan dan hendaklah mencatatkan kursus pengajian (sekiranya tidak memenuhi item 4).

  6. Sekiranya penerima manfaat mendapat tajaan pinjaman pendidikan PTPTN, dokumen 4 dan 5 tidak diperlukan.

  7. Salinan buku bank persendirian pendeposit (jika ingin dikreditkan ke akaun)

*dokumen 1, 4 dan 5 perlu disahkan

28. Bilakah permohonan geran sepadan boleh dibuat?

Permohonan geran sepadan boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tempoh pengajian penerima manfaat. 

Syaratnya, akaun Simpan SSPN Prime semasa permohonan adalah aktif dan umur penerima manfaat belum mencapai 29 tahun semasa permohonan. Tuntutan geran sepadan selepas penutupan akaun tidak dibenarkan.

29. Tuntutan geran sepadan dibuat dalam tempoh kurang setahun dari tarikh pembukaan akaun. Adakah pendeposit layak dipertimbangkan untuk pemberian geran sepadan?

Ya. Pemberian token bernilai RM100 akan diberikan sebagai dorongan dan penghargaan kerana menabung di dalam Simpan SSPN Prime.

SSPN i Plus PTPTN Logo 2

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Tingkat Bawah, Menara PTPTN,
Blok D, Megan Avenue II,
No.12, Jalan Yap Kwan Seng,
50450 Kuala Lumpur.

Whatapps : klik sini
Faks: 03 – 2193 1263
e-Aduan: iCare

Pautan Pantas

Media Sosial

Facebook

SSPNi Plus2u